facebook

facebook

Mari beri sokongan

12.2.15

Kisah seorang pemuda berdialog dengan seorang Atheis









Soalan Pertama
Atheis: “Pada zaman bilakah Tuhan kamu
dilahirkan?”

Pemuda tersebut tersenyum lalu menjawab:
“Allah Taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan.
Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa,
Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan
maka sudah tentu Dia punya anak.”

Soalan Kedua

Atheis: “Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu
wujud?”

Pemuda itu seraya menjawab: “Allah Taala itu
wujud sebelum adanya zaman, sedangkan zaman
itu sendiri adalah ciptaanNya, mana mungkin
pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya.”

Soalan Ketiga

Atheis: “Cuba kamu berikan kepada kami sedikit
gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang
tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin
sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?”

Pemuda itu menjawab: “Kamu pandai mengira?”
Kelompok Atheis itu menjawab: “Tentu sekali
kami pandai mengira.”
Pemuda itu meneruskan ucapannya: “Bolehkah
kamu beritahu aku apakah nombor sebelum
nombor empat (4)?”

Atheis: “Nombor 3″

Pemuda: “Nombor sebelum 3?”

Atheis: “Nombor 2″

Pemuda: “Nombor sebelum 2?”

Atheis: “Nombor 1″

Pemuda: “Nombor sebelum 1?”

Atheis: “Tiada”

Pemuda itu tersenyum lalu memberikan
penerangan: “Nah, kamu sendiri mengakui
bahawa nombor 1 sebelumnya tiada mulanya.
Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini
sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan
baginya. Apatah lagi pencipta kepada nombor
itu sendiri?”

Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan
jawapan yang padat dan bernas daripada
pemuda itu. Ternyata mereka silap perkiraan
bila mana berhadapan dengan anak muda ini.
Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak
muda ini mudah dikalahkan, namun telahan
mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu
lebih berhati-hati.

Soalan Keempat

Atheis: “Tahniah anak muda di atas jawapanmu
sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di
dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu
terangkan kepada kami, pada bahagian manakah
Tuhan kamu mengadap?”

Pemuda itu menjawab: “Jika aku bawa sebuah
pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah
tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya
pada api tersebut mengadap?”

Kelompok Atheis menjawab: “Cahaya itu tentulah
akan menerangi keseluruhan arah.”

Pemuda itu berkata: “Jika cahaya yang
diciptakanNya itu pun kamu semua tidak mampu
menerangkan pada arah manakah ia mengadap,
inikan pula Sang Pemilik Cahaya langit dan bumi
ini sendiri?”

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan
daripada pemuda itu bersorak kegembiraan.
Kagum mereka dengan kepetahan anak muda
itu.

Soalan Kelima

Atheis: “Bolehkah kamu terangkan kepada kami,
bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras
seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut
seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan
asap?”

Pemuda itu sekali lagi tersenyum. Beliau
menarik nafas panjang lalu menghelanya
perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar
persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai
tertunggu-tunggu penuh debaran apakah
jawapan yang akan diberikan oleh pemuda itu.
Pemuda itu menjawab: “Kamu semua tentu
pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir
mati bukan?”

Atheis menjawab: “Tentu sekali.”

Pemuda itu meneruskan: “Bila mana orang sakit
tadi mati, bolehkah kamu bercakap dengannya?”
Atheis menjawab: “Bagaimana mungkin kami
bercakap dengan seseorang yang telah mati?”
Pemuda itu meneruskan: “Sebelum dia mati
kamu boleh bercakap-cakap dengannya, namun
selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak
dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi
sebenarnya?”

Kelompok Atheis tertawa lalu memberikan
jawapan: “Adakah soalan seperti ini kamu
tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu
sekali seseorang yang mati itu tidak boleh
bercakap dan bergerak . Ini kerana rohnya telah
terpisah daripada jasadnya.”

Pemuda itu tersenyum mendengar jawapan
mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan
bahawa rohnya telah terpisah daripada jasadnya
bukan?

Bolehkah kamu sifatkan kepada aku
sekarang,bagaimanakah bentuk roh tersebut.
Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya
mengalir lembut seperti air atau ianya seperti
asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk kesemua Atheis tersebut bila mana
mendengar persoalan pemuda bijak tersebut.
Ternyata olokan mereka sebentar tadi kembali
tertimpa ke atas mereka.

Kelompok Atheis menjawab dengan keadaan
penuh malu: “Maaf, tentu sekali kami tidak
dapat mengetahui bagaimana bentuknya.”
Pemuda itu lalu meneruskan bicaranya: “Jika
makhluknya seperti roh itu pun kamu tidak
mampu untuk menerangkannya kepada aku,
bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku
menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik
Roh serta sekalian alam ini?”

Soalan Keenam

Atheis: “Di manakah Tuhan kamu duduk
sekarang?”

Pemuda itu kembali bertanyakan soalan kepada
mereka: “Jika kamu membancuh susu, tentu
sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu
tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah
kamu terangkan kepada saya, dimanakah
tempatnya lemak tersebut berada?”

Kelompok Atheis menjawab: “Kami tidak dapat
menerangkan kepadamu dengan tepat
kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini
kerana lemak itu mengambil keseluruhan
bahagian susu tersebut.”

Pemuda itu seraya berkata: “Kamu sendiri lemah
di dalam memberikan jawapan terhadap
persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam
susu pun tiada tempat yang khusus baginya,
masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa
Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk
khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan
persoalan-persoalan kamu ini.”

Soalan Ketujuh

Atheis: “Kami pelik bagaimana jika masuk ke
dalam syurga ada permulaannya (iaitu selepas
dihisab oleh Allah Taala di padang Mahsyar)
namun bila mana sudah berada di dalamnya
maka tiada lagi pengakhirannya (maksudnya
tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di
dalam syurga)?”

Pemuda itu tersenyum lagi lalu menjawab:
“Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut.
Cuba kamu lihat pada nombor. Ianya bermula
dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah
kamu terangkan kepada aku apakah nombor
yang terakhir di dalam senarai nombor?”

Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan
jawapan. Tentu sekali nombor tiada
kesudahannya. Pemuda itu tersenyum melihat
kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu
memberikan jawapan.

Kemudian beliau menyambung bicaranya: “Nah,
kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan
kepadaku apakah nombor terakhir bukan?
Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata
kepala kamu.”

Soalan Kelapan

Atheis: “Kami ingin bertanya lagi, bagaimana
mungkin seseorang di dalam syurga menurut
Nabi kamu tidak akan kencing dan berak.
Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini
adalah perkara yang tidak masuk akal.”

Pemuda itu tenang membetulkan kedudukannya.
Lalu beliau menjawab: “Aku dan kamu
sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu
sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di
dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil
darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang
air kecil dan besar di dalam perut ibumu?

Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu
bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini.

Soalan Kesembilan

Ia soalan terakhir yang ditanyakan oleh
kelompok Atheis tersebut kepada pemuda itu
bila mana mereka telah mati kutu dan sudah
terlampau malu ialah berkenaan: “Jika kamu
terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh
Tuhanmu sekarang?”

Maka pemuda itu menjawab dengan tenang:
“Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu,
eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana
kamu berada pada tempat yang tinggi sedang
aku berada di bawah. Jawapan hanya boleh
diberikan bila mana aku berada di atas
mengambil alih tempatmu.”

Kelompok Athies itu lalu bersetuju dengan
cadangan pemuda tersebut, lalu mereka
bertukar tempat.

Pemuda itu naik ke atas, manakala sang Atheis
turun ke bawah.

Bila mana pemuda itu sudah berada di atas,
terus beliau menjawab: “Kamu bertanya
sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan
sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku
sedang meninggikan yang Haq (dengan
menaikkan pemuda itu ke atas) dan menurunkan
yang Batil (dengan menurunkan kelompok Atheis
tersebut ke bawah).”

Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi
persoalan yang ingin ditanyakan malah
kesemuanya telah dipatahkan oleh pemuda itu
dengan penuh hikmah.

Walau sudah hampir ribuan tahun pemuda itu
meninggalkan kita, namun namanya disebut
orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi
kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...