facebook

facebook

Mari beri sokongan

23.6.14

Al-Imam 'Ali Khawwas

Al-Imam 'Ali Khawwas ialah seorang 'alim di dalam banyak cabang ilmu agama seperti tafsir, hadis, fiqh tauhid, dan lain-lain. beliau juga adalah seorang sufi, beliau tidak tahu membaca serta menulis (ummi) tetapi dapat menjawab persoalan-persoalan agama melalui ilmu ladunni yang diilhamkan oleh ALLAH SWT ke atasnya.

ketika mana beliau ditanya oleh anak muridnya iaitu Al-Imam Sya'rani, maka bermulalah perbualan soal jawab diantara mereka berdua seperti berikut:

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi akal?
‘Ali Khawwas : sentiasa berwaspada pada sesuatu kerana keupayaan akal itu terhad.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi islam dan iman?
‘Ali Khawwas : sibuk berbahas dan berlegar pada darjat itu dan tidak cuba taraqqi kepada maqam yang lebih tinggi lagi.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi amal?
‘Ali Khawwas : kejemuan dan kemalasan.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi ilmu?
‘Ali Khawwas : seseorang itu mendakwa dia berilmu.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang dikurniakan ke atasnya al-haal?
‘Ali Khawwas : merasa suka dan aman dengan kurniaan ahwal itu.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang ‘arif?
‘Ali Khawwas : suka kepada kemasyhuran.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi percakapan?
‘Ali Khawwas : dusta.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi mahabbah?
‘Ali Khawwas : syahwat nafsaniyyah.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi tawadhu’?
‘Ali Khawwas : merasa hina kepada selain daripada ALLAH SWT.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi sabar?
‘Ali Khawwas : mengadu dan merintih kepada selain daripada ALLAH SWT.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi taslim (redha dan pasrah dengan ketentuan ALLAH SWT)?‘Ali Khawwas : mengabaikan suruhan dan larangan ALLAH SWT.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi kekayaan?
‘Ali Khawwas : tamak dan beri’tiqad mestilah setiap sesuatu itu adalah untuk dia.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi keagungan?
‘Ali Khawwas : keangkuhan dan kesombongan.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang mendapat sesuatu kurniaan?
‘Ali Khawwas : pembaziran.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi pengangguran?
‘Ali Khawwas : malas daripada melakukan amalan-amalan dunia dan akhirat.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang dikurniakan kasyaf?
‘Ali Khawwas : berbicara mengenainya (memberitahu kepada orang lain).

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi kepatuhan kepada sunnah?
‘Ali Khawwas : menta’wil ayat-ayat Allah dan hadis-hadis. (kerana bagi ahli muqarrabin dikalangan sufi mereka tidak menta’wilnya sebagaimana para salafus-soleh tidak menta’wilnya, mereka menyerahkan segala hakikat maknanya kepada ALLAH SWT, adapun ianya dita’wil oleh para mutakallimin untuk menyelamatkan aqidah dan kefahaman ahli awam).

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi adab?
‘Ali Khawwas : pentafsiran (seseorang itu suka mentafsir sesuatu adab itu mengapa dia perlu melakukan adab sebegini dan sebegitu).

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi suhbah?
‘Ali Khawwas : perselisihan dan pertengkaran diantara si murid dengan syeikh yang disuhbahnya itu.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang dikurniakan faham?
‘Ali Khawwas : suka berjidal sesama manusia.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang murid yang masih baru di dalam perjalanannya menuju ALLAH SWT?
‘Ali Khawwas : cuba menyelinap untuk berada di maqam-maqam para rijaal dan para muqarrabin yang tinggi tanpa melalui suluk jalan mereka terlebih dahulu.
Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang dibukakan oleh ALLAH SWT sesuatu kurniaan ke atasnya?
‘Ali Khawwas : berpaling kepada selain daripada ALLAH SWT (sibuk dengan kurniaan dan tidak sibuk kepada Pengurnia hakiki iaitu ALLAH SWT).

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang faqih (faqih yang tidak sufi) ?
‘Ali Khawwas : kasyaf ( kerana faqih yang tidak sufi adalah yang membincang zahir syariat sahaja, maka dia hanya berlegar pada maqam 'ubudiyyah di darjat syariat dan tidak taraqqi kepada darjat 'ubudiyyah yang lebih tinggi lagi iaitu di maqam thariqhat dan maqam haqiqat, akhirnya dia terhijab daripada dikurniakan kasyaf) .

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang salik?
‘Ali Khawwas : ragu (tidak yakin dengan apa yang telah dijanjikan oleh ALLAH SWT & RASUL serta apa yang telah diajar oleh murobbinya).

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi dunia?
‘Ali Khawwas : terlalu berkeinginan dan terlalu berusaha untuk memilikinya.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi akhirat?
‘Ali Khawwas : seseorang itu berpaling kepada amalannya, kerana dia merasakan bahawa segala singgahsananya dan nikmat-nikmatnya di dalam syurga itu adalah daripada hasil usaha amalan-amalan kebaikannya di dunia.
Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang dikurniakan karamah?
‘Ali Khawwas : karamah itu menjadi istidraj kepada dirinya (kerana dia sibuk dengan karamah itu dan tidak syuhud kepada Pengurnia karamah itu iaitu ALLAH SWT).

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi seseorang yang menyeru kepada kebaikan?
‘Ali Khawwas : suka kepada jawatan kepimpinan.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi kezaliman?
‘Ali Khawwas : tersebarnya dengan meluas kezaliman itu.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi keadilan?
‘Ali Khawwas : membalas dendam kepada sesiapa yang pernah menzaliminya atas dasar menuntut keadilan.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi taqlid?
‘Ali Khawwas : was-was dan ragu dengan apa yang diamalkannya (kerana itulah perlu menuntut ilmu dan mencari jalan yang boleh menyampaikan seseorang itu ke maqam yaqin).

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi al-ithlaq (pembebasan atau pelonggaran)?
‘Ali Khawwas : keluar daripada had-had syariat.

Imam Sya’rani : apakah halangan bagi terzahir kekurangan pada amalan?
‘Ali Khawwas : kurang bersyukur kepada ALLAH SWT. wallahu a’lam

terjemah kitab : durar al-ghawwas ‘alaa fataawa sayyidi ‘ali al-khawwas. cetakan : daar at-taqwa, damsyiq, syria. halaman : 110-111.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...