facebook

facebook

Mari beri sokongan

15.10.13

Asalnya Wukuf dan 'Idil Adha




 "Bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah."

Mendengar kata-kata Ibrahim itu segeralah Hajar melepaskan genggamannya pada baju Ibrahim dan dilepaskannyalah beliau menunggang untanya kembali ke Palestin dengan iringan air mata yang bercurahan membasahi tubuh Ismail yang sedang menetak. Sedang Nabi Ibrahim pun tidak dapat menahan air matanya keetika ia turun dari dataran tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali ke Palestin di mana isterinya Sarah dengan puteranya yang kedua Ishak sedang menanti. 

Ia tidak henti-henti selama dalam perjalanan kembali memohon kepada Allah perlindungan, rahmat dan barakah serta kurniaan rezeki bagi putera dan ibunya yang ditinggalkan di tempat terasing itu.

 Sebelum meninggalkan mereka berdua, Nabi Ibrahim a.s berdoa dalam surah Ibrahim ayat ke 37 bermaksud :- 

Wahai Tuhanku, Aku telah menempatkan sebahagian daripada keluargaku di sebuah lembah yang tandus tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi RumahMu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu jadikanlah hati sebahagian daripada manusia  tertarik kepada mereka. (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan , semoga mereka bersyukur.”




Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim a.s. berkata, 'Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu. Maka fikirkanlah apa pendapat kamu!' Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t. kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'"
(Ash-Saffat: 102)



Waktu itulah, iblis terkutuk datang menggoda Nabi Ibrahim a.s. Mereka tidak pernah sesibuk seperti hari itu. Menyaksikan perkara itu, Ismail ketakutan dan berlari ke hadapan ayahnya.

Iblis lalu berkata: "Apakah kamu tidak memerhatikan badannya yang gagah, parasnya yang tampan dan perilakunya yang santun?"

Nabi Ibrahim a.s. menjawab: "Ya, tetapi aku telah diperintah oleh Tuhanku untuk menyembelihnya."

Apabila iblis terkutuk itu putus asa kerana tidak dapat menggoda Nabi Ibrahim a.s., dia pun pergi menemui Siti Hajar dan berkata: "Bagaimana boleh kamu hanya duduk-duduk sahaja, sedangkan Ibrahim pergi dengan anak kamu dan hendak menyembelih anak kamu?"

Siti Hajar menjawab: "Jangan berdusta! Aku tahu seorang ayah tidak akan sanggup menyembelih anaknya sendiri!"

Iblis berkata: "Suami kamu membawa pergi anak kamu sambil membawa tali dan pisau. Dia mengira Tuhannya telah menyuruhnya untuk itu."

Siti Hajar mengelak: "Nabi tidak diperintahkan untuk mengerjakan sesuatu yang sia-sia. Tapi, jika memang Allah s.w.t. telah memerintahkan perkara itu, aku sendiri bersedia untuk menurut perintah itu dengan jiwaku. Bukan hanya jiwa, malah anakku rela kukorbankan demi Allah s.w.t.!"

Iblis terkutuk tidak berputus asa kerana tidak boleh memujuk Siti Hajar, maka dia pergi menemui Ismail seraya berkata: "Hai Ismail, kamu nampak bersenang-senang, sedangkan saat ini ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu."

"Jangan berdusta, hai iblis. Mengapa ayahku hendak menyembelihku?" tanya Ismail.

"Dia mengira bahawa Tuhannya telah menyuruhnya demikian."

"Aku memerhatikan dan mentaati perintah Tuhanku!" tegas Ismail

Ketika iblis yang terkutuk itu melontarkan kata-kata yang lain, terlebih dahulu Ismail a.s. mengambil batu dan tanah lalu melemparkannya kepada iblis sehingga menyebabkan mata iblis yang kiri pecah dan menjadi buta. Setelah itu, barulah iblis pergi. Peristiwa inilah yang melatarbelakangi perintah Allah s.w.t.yang mewajibkan umat Islam untuk melemparkan batu di tempat itu untuk mengusir syaitan seperti yang dilakukan oleh Nabi Ismail.

Apabila Nabi Ibrahim a.s. sampai di Mina, beliau berkata kepada Nabi Ismail: "Anakku, aku mendengar dalam mimpiku bahawa Allah s.w.t. telah memerintahkanku untuk menyembelih kamu. Bagaimana pendapat kamu?"

Maksud daripada pertanyaan Nabi Ibrahim a.s. adalah dia meminta pendapat Nabi Ismail tentang perintah dalam mimpinya itu. Adakah Ismail akan tabah dan sabar menerima perintah Allah s.w.t. itu, atau Ismail akan menolaknya dan meminta ampun kepada Allah s.w.t. sebelum perintah itu dilaksanakan. Sekaligus sebagai ujian adakah Ismail akan menjawab dengan penuh perhatian dan taat kepada perintah Allah s.w.t. atau tidak.

Lalu Ismail menjawab: "Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang Allah s.w.t. perintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t., ayah akan mendapatkan aku sebagai orang yang sabar dalam menjalankan perintah Allah s.w.t."

Apabila Nabi Ibrahim a.s. mendengar jawapan dari puteranya itu, beliau tahu bahawa doanya telah dikabulkan oleh Allah s.w.t. iaitu: "Rabbi hablii minash solihiin. (Ya Tuhanku, berikanlah aku anak yang soleh)." Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun mengucapkan pujian dan syukur serta berterima kasih kepada Allah s.w.t.

Kemudian Ismail berkata: "Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesanan kepada ayah! Hendaklah ayah mengikat tanganku agar aku tidak dapat bergerak-gerak kerana mungkin aku akan menyakiti ayah. Hadapkan wajahku ke tanah agar ayah tidak dapat melihat wajahku dan berasa kasihan kepadaku. Hendaklah ayah melipat kain ayah agar tidak dilumuri darah meskipun sedikit sehingga mengurangkan pahalaku dan diketahui oleh ibu hingga dia menjadi sedih. Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah dan mempercepatkan sembelihannya di atas leherku agar aku tidak merasa terlalu sakit kerana sesungguhnya mati itu sakit sekali.

Hendaklah ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai kenang-kenangan dariku, serta sampaikan salam hormatku kepadanya dan katakan; Bersabarlah engkau menerima perintah Allah s.w.t. dan jangan beritahu kepadanya bahawa ayah telah menyembelih aku dengan mengikat tanganku. Jangan pula ayah memasukkan anak-anak ke rumah ibu, agar kesedihannya tidak terlalu lama. Begitu juga ayah, janganlah kamu melihat anak seusiaku kerana nanti ayah akan menyesal dan bersedih terhadapku."

Mendengar permintaan anaknya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: "Sebaik-baik penolong adalah kamu, wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t."

Kemudian kedua-duanya bersiap untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. Nabi Ibrahim a.s. sendiri yang akan membaringkan Nabi Ismail seperti membaringkan kambiing yang akan disembelih. Ada juga yang mengisahkan Nabi Ibrahim a.s. menelungkupkan wajah Ismail dengan syarat agar tidak melihat sesuatu yang akan menimbulkan kasih sayangnya sehingga dapat menghalangnya daripada melaksanakan perintah Allah s.w.t. Kejadian itu terjadi di suatu sisi seketul batu besar yang terletak di Mina.

Ada yang mengisahkan kejadian itu berlaku di suatu tempat di Mina. Ketika Nabi Ibrahim a.s. meletakkan pisaunya pada leher Ismail a.s., beliau pun berusaha memotong dengan kuat sekali, tetapi sekuat manapun dia mencuba, dia tidak mampu untuk memutuskan leher anaknya itu.

Sesungguhnya ketika kejadian itu berlaku, Allah s.w.t. telah membuka tutup mata para malaikat yang ada di langit dan di laut. Ketika melihat Nabi Ibrahim a.s. telah menyembelih puteranya Ismail, mereka tersungkur bersujud kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman: "Perhatikan oleh kamu sekalian tentang hamba-Ku ini, bagaimana dia meletakkan pisau di atas leher puteranya untuk mengharapkan keredhaan-Ku, sedangkan kamu dahulu telah menyatakan sesuatu ketika Aku berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikan di bumi ini seorang khalifah." Kamu berkata: "Apakah Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi dan akan menumpahkan darah, sedangkan kami semua maha sucikan Engkau?"

Kemudian Ismail berkata lagi: " Wahai ayahku, lepaskanlah ikatan tali di tangan dan kakiku agar Allah s.w.t. tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa mentaati perintah-Nya. Kemudian letakkan pisau itu di leherku agar malaikat-malaikat tahu bahawa putera Ibrahim a.s. telah mentaati perintah Allah s.w.t. dengan ikhtiar (pilihan sendiri dan secara sukarela)."

Lalu, Nabi Ibrahim pun menelentangkan kedua-dua tangan Ismail dan kedua kakinya yang tanpa ikatan serta memalingkan wajahnya ke tanah lalu menekankan pisau dengan sekuat tenaganya. Namun dengan izin Allah s.w.t., ternyata pisau itu tidak boleh memotong leher Ismail.

Melihat kejadian itu, Ismail berkata: "Wahai ayahku, kekuatan kamu menjadi lemah kerana kamu masih menyimpan cinta kamu untukku. Oleh kerana itulah, kamu tidak boleh menyembelih aku."

Lalu Nabi Ibrahim a.s. memukulkan pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua.

Kemudian Ibrahim a.s. berkata: "Hai pisau, engkau mampu membelah batu itu, tetapi mengapa engkau tidak mampu memotong leher anakku?"

Dengan izin Allah s.w.t., pisau itu dapat berbicara dan menjawab: "Wahai Nabi Allah Ibrahim, kamu memang mengatakan "Potonglah!" kepadaku, sedangkan Tuhan penyeru alam sekalian juga berfirman: "Jangan kamu potong!" Maka bagaimana mungkin aku mentaati kamu, sedangkan aku harus menderhakai Tuhanku dan Tuhan kamu?"

Kemudian Allah s.w.t. berfirman: "Dan kami menyeru: "Hai Ibrahim, sungguh kamu telah membenarkan mimpi kamu. Daripada semua yang kamu lakukan, Aku boleh melihat bahawa kamu bersungguh-sungguh telah memilih keredhaan-Ku daripada kecintaan kamu terhadap anak kamu. Oleh sebab itulah, kamu termasuk golongan orang-orang yang taat kepada perintah-Ku. Sesungguhnya ujian ini merupakan ujian yang nyata. Penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas dan yang tidak ikhlas dan merupakan ujian yang sangat sukar kerana tidak ada yang sesukar ujian ini."


"Maka, Kami selamatkan orang yang diperintahkan menyembelih dengan sembelihan yang besar daripada syurga, iaitu kambing kibas yang dahulu telah dikorbankan oleh Habil yang telah diterima darinya. Korban (kambing) itu tetap berada di syurga sehingga Ismail ditebus (ditukar) dengan kambing itu. Oleh sebab itulah, Kami perintahkan kepada Jibril untuk membawa kambing kibas itu ketika terakhir kali engkau meletakkan pisau kamu kepada leher Ismail."

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.” (Riwayat Imam Ahmad)
 

Lalu turunlah penghuni langit bersama Malaikat Jibril lalu berseru untuk mengagungkan Allah s.w.t. dan merasa takjub (kagum) menyaksikan perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sambil berucap: "Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar."

Lalu Nabi Ibrahim a.s. membalas ucapan Jibril dengan ucapan: "La ilaaha illallaahu Allahu Akbar."

Begitu juga Ismail, dia menyambutnya dengan ucapan: "Allahu akbar wa lillahil hamdu."

Kemudian Allah s.w.t. memuliakan ucapan itu lalu mewajibkan umat Islam untuk mengucapkannya pada hari raya Aidil Adha sebagai tanda meraikan kejayaan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya, Nabi Ismail yang sentiasa redha dan taat dalam menjalankan perintah Allah s.w.t.




# Pic kredit to Elyna Lyna

2 comments:

Akmal Halim said...

salam aidil adha bro :D

Zai Zaiman said...

Salam kembali... ceria pengorbanan d aidil adha....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...