facebook

facebook

Mari beri sokongan

2.8.16

Masih ada ruang untuk kita berjaya...



Anda boleh berjaya walau dalam keadaan apa sekalipun kedudukan anda sekarang. Asalkan fikiran masih waras dan boleh gunakan akal untuk berfikir dengan baik, anda boleh berjaya.

Saya yakin semua yang datang secara rutin untuk baca blog hidupringkas.com ada potensi untuk berjaya dan insyaallah, pembaca blog ini satu hari nanti akan berjaya mencapai apa yang disasarkan.

Sebab utama adalah kerana hanya mereka yang mencari apa yang mereka mahu sahaja akan berkemungkinan menemui apa yang dicarinya. Jika anda tetap istiqamah mencari dan mencari dalam masa yang cukup lama, titik akhirnya adalah kejayaan jua.

Semua orang lahir dalam keadaan telanjang bogel tak punya apa-apa. Kalau dia dari keluarga kaya rayapun, harta yang ada bukanlah miliknya. Mungkin bila dia membesar, keluarganya jatuh miskin dan ada berbagai kemungkinan lagi yang tiada siapa dapat jangkakan.

Oleh itu, samada anda sekarang amat miskin, sedang hadapi masalah hutang yang bertimbun, tak ada pendapatan yang mencukupi, tak ada kemahiran yang bernilai, tak ada orang yang boleh bantu dan sebagainya, tak perlu risau dan putus harap kerana selagi hidup kemungkinan untuk anda berubah maju bukanlah satu perkara yang mustahil.

Berikut saya kongsikan perkara yang perlu anda lakukan secara berlahan-lahan sehingga ianya menjadi tabiat diri yang lekat sebati dalam jiwa. Tak perlu lakukan kesemuanya sekali gus, buatlah satu persatu, perlahan-lahan dan jangan tergesa-gesa untuk berubah dan berjaya dengan cepat.

Anda boleh berjaya jika buat perkara di bawah

  1. Percaya pada diri sendiri. Yakinlah anda boleh berubah dan berjaya. Tak ada orang yang dilahirkan untuk gagal kerana untuk gagal itu sendiri ada banyak perkara yang perlu dilakukan sehingga anda selesa dengen kegagalan. Oleh itu daripada bersusah payah untuk gagal, lebih baik bersusah payah untuk berjaya. Jangan terima apa saja kata-kata negatif orang tentang anda sebab bukan mereka yang tentukan bagaimana anda perlu berfikir dan percaya.
  2. Terima keadaan semasa. Samada anda jahil, anda tak ada wang, anda banyak hutang, anda tak ramai kawan, orang tak suka pada anda, tak ada kemahiran, rumah buruk, budak kampung… atau apa saja, jangan menafikannya. Terima dan akuinya dan maafkan diri anda selama ini yang rasa bengap kerana banyak buat salah. Maafkan juga semua orang yang anda rasa bersalah menjadi penyebab (yang anda sangka) kepada keadaaan diri. Terima bukan bermakna anda setuju, memaafkan diri bukan bermakna anda suka. Yang penting akui hakikat apa yang dah berlaku.
  3. Bersyukur. Selesai memaafkan segala-galanya dan bersedia menerima apa yang telah berlaku, anda akan mula dapat melihat segala nikmat yang ada di sekeliling. Terlalu banyak sebenarnya kalau anda sedar. Mata anda saja tak akan dapat dibeli walaupun ditawarkan dengan harga RM100 juta, itu belum lagi masuk perkara lain. Boleh berak dengan lawas saja dah tak ternilai harganya… banyak perkara yang mampu buatkan anda tersenyum sebaik saja anda sedar diri walaupun sekadar duduk atas kerusi depan taman dan mula melihat ayat-ayat atau kejadiaan Tuhan.
  4. Rasakan bahawa semua kejadian ada kaitan. Tidak berubah satu perkarapun melainkan ianya memberikan kesan pada seluruh alam. Sebiji buah jambu yang jatuh atas kepala anda bukan berlaku secara tiba-tiba melainkan ada perancangannya, ada sebab musababnya. Dan begitulah lanjutan peristiwa atau perkara yang bakal berlaku kesan daripada terjatuhnya buah jambu itu atas kepala anda. Malah untuk jatuh itu juga adalah rentetan dari rangkaian trillion peristiwa lain bermula sejak wujudnya alam yang Tuhan ciptakan ini.
  5. Apa perkara baik yang boleh dipelajari dari kejadian. Bila anda sedar bahawa tiada yang berlaku secara sia-sia, anda ada pilihan yang betul untuk memberikan reaksi terhadap kejadian. Sebelum apa-apa, bertanyalah pada diri anda “apakah perkara baik yang boleh aku pelajari dari kejadian ini..?”. Ini merupakan cara paling selamat untuk tukarkan tenaga negatif kepada tenaga positif. Itulah rahsia apa yang berlaku pada anda, ia menunggu dan memberi peluang untuk anda berubah, seandainya anda bersikap positif.
  6. Ringan tulang. Berkhidmatlah bantu orang bila ada kesempatan. Bantu tanpa mengharapkan sebarang balasan kerana kajian terbukti, jiwa merasa bahagia dan puas maksimum setiap kali anda dapat memberikan bantuan pada orang lain. Jiwa yang bahagia dan puas akan menarik banyak lagi perkara baik yang membuatkan anda menjadi lebih baik daripada keadaan sekarang. Semua berlaku secara lancar dan tersusun tanpa anda sedari.
  7. Jangan ikat fikiran pada hasil. Jangan sibukkan diri anda dan terikat pada hasil yang dikejar. Tidak terikat bukan bererti anda tak perduli, bukan bermakna anda tak mahu. Cuma jangan gantungkan keseronokan dan kebahagiaan dengan hasil. Anda tak perlu tunggu kaya untuk bahagia, anda tak perlu tunggu orang suka pada anda sebelum anda suka padanya. Tumpukan fikiran pada apa yang anda boleh buat sekarang dan terus menikmati perjalanannya. Jangan paksa diri sampai jadi kejang untuk sampai pada hasil secepat mungkin.
  8. Pantau pemikiran anda. Sentiasa peka pada apa yang anda sedang fikirkan. Tukarkan marah pada sabar, masam pada senyum. Hentikan pemikiran marah dan pertengkaran dalam kepala anda setiap kali ianya berlaku. Banyak kajian membuktikan apa yang anda fikirkan mengeluarkan tenaga. Fikiran berkecamuk marah atau sedih, mampu mengubah bentuk molekul air di tepi anda menjadi rupa yang buruk. Bayangkan kesannya pada orang yang ada di sekeliling anda. Oleh itu sentiasa pantau dan kawal apa yang sedang anda fikirkan. Sentiasa sebut ‘Cukup hanya Allah bagi aku, dan dia sebaik-baik Penjaga’.
  9. Sayangi diri anda. Oleh itu jagalah kesihatan. Berusahalah untuk jalani gaya kehidupan yang sihat sebaik mungkin. Jaga rehat, jaga makan, bersenam jaga kesihatan. Semua itu adalah tanda-tanda anda menghargai diri sendiri. Orang menghargai diri sendiri adalah orang yang bersyukur. Orang yang bersyukur Tuhan akan gandakan nikmat. Oleh itu sayangi diri anda.
  10. Belajar dan belajar. Tambah ilmu dengan banyak membaca, banyak melihat dan banyak berfikir… ‘apa perkara baik yang anda boleh pelajari dari segala yang sedang berlaku…?”. Jadikan amalan membaca sekurang-kurangnya sebuah buku sebulan sebagai sasaran untuk dicapai. Istiqamah dan teruskan membaca dan melihat kejadian alam. Anda takkan sangka betapa hebatnya kesan dari aktiviti ini pada kejayaan diri.
  11. Perbaiki keadaan sekeliling anda. Di mana saja anda tinggal, di mana saja anda duduk, pastikan tempat itu kemas dan tersusun. Ia memberikan kesan positif pada pemikiran. Anda akan jadi tenang. Fikiran tenang membuatkan anda rasa bersyukur dan orang yang bersyukur Tuhan akan tambah lagi nikmat padanya. Bersihkan tempat tinggal anda. Rumah tak perlu megah besar dan mewah untuk menjadikannya kemas dan bersih. Rumah papan berlantaikan tanah juga boleh dikemas dan disusun rapi. Itu tanda orang-orang yang bersyukur…
  12. Jaga mulut anda. Jangan main lepas cakap. Jangan keluarkan perkataan negatif yang boleh menukarkan kegembiraan orang lain. Kesan cakap negatif anda mengeluarkan tenaga negatif, tenaga yang buruk itu menarik banyak perkara negatif pada diri anda sendiri. Oleh itu kalau tak tahu nak cakap apa, lebih baik diam dan senyum.
  13. Jangan berhenti meminta. Apa yang anda inginkan, mintalah. Ertinya mulakan dengan berdoa. Minta pada Allah apa yang anda inginkan. Biar ianya jelas dan realistik. Tak payah fikir macam mana anda boleh dapat semua itu, yang pentingnya anda minta dan anda jelas dengan apa yang anda mahukan.
  14. Berterima kasih pada semua perkara. Ringankan mulut ucapkan terima kasih. Jangan berat mulut ucapkan Alhamdulillah, walau pada sekecil-kecil perkara. Anggap apa yang anda inginkan sedang dalam perjalanannya dan bersyukurlah.
  15. Solat. Jangan tinggal solat. Tambah dengan solat sunat terutamanya Dhuha. Ambil berat pada urusan solat kerana ia memberikan kehidupan pada jiwa anda.
Marilah kita latih diri untuk amalkan kesemua perkara tersebut di atas dan mula jadi magnet kepada kejayaan demi kejayaan. Saya yakin kita semua boleh berjaya dengan adanya usaha untuk lakukan perkara-perkara mudah di atas. Asalkan anda amalkannya dengan kadar yang cukup lama tanpa henti, kebaikan sudah pasti milik anda.

Anda boleh berjaya, tak perlu tergesa-gesa. Ubahlah diri sendiri dan sabar dengan perubahan sedikit demi sedikit. Kalau anda perhatikan semua yang saya sebutkan di atas, kita sebenarnya sedang berusaha untuk jalani kehidupan dan kehidupan akan mudah bila kita biarkan segala berlaku secara tenang dan lancar dan bukannya secara paksaan.

#kreditto http://hidupringkas.com/kehidupan/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...